NNC Band Juara Battle of The Bands Regatta Lingga 2025
LINGGA: Malam kemuncak Regatta Lingga dihangatkan dengan pertandingan Battle of The Bands (BOTB) bukan sahaja menyaksikan persaingan sengit antara pemuzik tempatan, malah pentas digegarkan oleh vokalis legenda rock tanah air, Joey daripada Bumiputera Rockers (BPR).
Joey BPR memukau ribuan pengunjung dengan vokal emasnya menerusi persembahan selingan istimewa yang menampilkan lagu-lagu hits BPR, sekali gus menaikkan semangat peserta.
Dalam pertandingan akhir, NNC Band dinobatkan sebagai juara setelah menampilkan persembahan bertenaga dan berkualiti tinggi, menewaskan Opera C Band di tempat kedua, manakala Chromatic Band menduduki tempat ketiga.
Pertandingan BOTB tahun ini menyaksikan 11 kumpulan bersaing di peringkat saringan, sebelum lapan kumpulan terbaik mara ke final.
Kemenangan NNC Band lebih bermakna apabila Alexius Paul dan Rickinson Ancher masing-masing dinobatkan sebagai Pemain Bass Terbaik dan Pemain Dram Terbaik.
Anugerah Vokal Terbaik diraih Hamzah Sandi (Zurin Jass), manakala kategori Gitar Terbaik diberikan kepada Mohd Kerdari (Gitar Utama, Carma Band) dan Garvin Gibson (Gitar Kedua, Chromatic Band). Saguhati pula dimenangi Zurin Jass, Carma Band, Rocky Labu, Double Se, dan Qasthia Band.
Keputusan rasmi BOTB disahkan panel juri profesional yang diketuai oleh komposer terkenal tanahair Patrick Kamis bersama Abd. Rahman Ali dan Jue Mahmud.
Penganjuran BOTB Regatta Lingga ini berjaya menjadi kemuncak hiburan tahunan, sekali gus menonjolkan bakat pemuzik rock tempatan.-EDISI UKAS