APM Samarahan Perhebat Pemantauan Awal, Pastikan Kawasan Berisiko Banjir Terkawal
KOTA SAMARAHAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan telah melaksanakan rondaan dan pemantauan berterusan di beberapa kawasan berisiko banjir bagi memastikan situasi semasa berada dalam keadaan terkawal serta selamat untuk penduduk setempat.
Pemantauan yang dijalankan bermula jam 5.24 petang hingga 7.38 malam Selasa itu memberi tumpuan kepada kawasan rendah, laluan utama serta penempatan yang dikenal pasti sering terjejas ketika hujan lebat berterusan.
Antara lokasi yang terlibat dalam pemantauan berkenaan ialah Kampung Plaie, Taman Samarindah, Kampung Sungai Empit, Taman Punan, Muara Tuang Park serta Sungai Stigang.
Sepanjang operasi, pasukan APM menilai paras air, aliran sungai serta keadaan persekitaran bagi mengesan sebarang perubahan yang boleh mencetuskan risiko banjir dan setiap pemerhatian direkodkan secara sistematik bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku peningkatan paras air atau keadaan luar jangka.
Usaha pemantauan ini mencerminkan tahap kesiapsiagaan APM Samarahan dalam menghadapi kemungkinan bencana, di samping memastikan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.
APM Samarahan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera melaporkan sebarang kejadian luar biasa berkaitan banjir kepada pihak bertanggungjawab. -EDISI UKAS