Budaya Teras Identiti Sarawak, Perkukuh Perpaduan Masyarakat
MIRI: Budaya dan warisan diangkat sebagai teras utama dalam membentuk identiti Sarawak yang aman, bersatu dan dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa, selari dengan kekuatan negeri ini yang berpaksikan kepelbagaian etnik, budaya dan agama dalam suasana harmoni.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, budaya dan warisan bukan sekadar lambang identiti, malah menjadi asas penting kepada perpaduan serta kestabilan sosial masyarakat.
“Kerajaan Sarawak akan terus menyokong usaha komuniti dan persatuan budaya dalam memelihara serta memartabatkan warisan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Kenyah Sarawak (PKKS) 2025 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan FORUM, pada Rabu.
Seiring komitmen tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) bagi menyokong penganjuran program pemeliharaan warisan budaya Kenyah.
Sementara itu, Penasihat PKKS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, menyifatkan penganjuran pesta kebudayaan ini sebagai platform penting untuk menyatukan komuniti Kenyah dari seluruh Sarawak di samping memperkenalkan kekayaan budaya Orang Ulu kepada masyarakat umum.-EDISI UKAS