LIMBANG: Seramai 13 penerima daripada komuniti Limbang menerima sumbangan sebanyak RM93,000 daripada Lee Ling Timber Sdn Bhd yang bernilai sempena sambutan Hari Krismas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terus menjadi medium penting memperkukuh hubungan antara sektor korporat dan masyarakat.
“Usaha murni yang dilaksanakan oleh Lee Ling Timber ini jelas mencerminkan keprihatinan syarikat terhadap kesejahteraan masyarakat serta komitmen dalam menyumbang kepada pembangunan sosial di kawasan operasi mereka,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan di pada Rabu.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sumbangan yang disalurkan dapat membantu meringankan beban kewangan penerima, terutamanya dalam membuat persiapan menyambut Hari Krismas yang bakal menjelang.
Dalam pada itu, Dato Paulus turut menyeru agar lebih banyak syarikat yang beroperasi di kawasan Batu Danau dan Limbang amnya tampil mencontohi langkah Lee Ling Timber dengan memainkan peranan aktif membantu masyarakat setempat.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengurus Besar Lee Ling Timber Sdn Bhd, Kenneth Chieng, wakil Pegawai Daerah Limbang, wakil Pegawai Hutan Wilayah Limbang, Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang.-EDISI UKAS