Inisiatif Pendidikan Digital Tingkat Kualiti Pembelajaran di SK Jaie
SADONG JAYA: Usaha memperkukuh pembelajaran berteraskan teknologi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jaie terus dipertingkatkan apabila peruntukan berjumlah RM20,000 diluluskan bagi penyediaan peralatan teknologi maklumat (IT) serta sumber digital untuk kegunaan pelajar.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, inisiatif tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, relevan dan selari dengan keperluan pendidikan masa kini, khususnya dalam era pendigitalan.
“Saya bersetuju dengan keperluan IT di sekolah ini dan bantuan demi kejayaan anak-anak akan diteruskan serta ditambah dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2025 yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Jaie, di sini pada Rabu.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap pendekatan SK Jaie yang mengaplikasikan pembelajaran digital melalui penggunaan media digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sekali gus mencerminkan komitmen pihak sekolah dalam menyahut aspirasi pendigitalan pendidikan.
Selain pemerkasaan pendidikan digital, Datuk Ir. Aidel turut menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur sekolah dan kemudahan komuniti, termasuk memberi pertimbangan terhadap perancangan untuk memulakan semula pembinaan Dewan Serbaguna SK Jaie yang telah dirancang sejak 2018, di samping cadangan pembinaan dewan baharu di kawasan bersebelahan.
Beliau menegaskan bahawa setiap permohonan munasabah yang dikemukakan oleh pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat sentiasa diberi perhatian dan sokongan berterusan.
Pada majlis sama, penghargaan turut dirakamkan kepada ibu bapa atas sokongan padu serta kerjasama erat antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), komuniti setempat dan warga pendidik yang menjadi antara faktor utama kejayaan dan kecemerlangan SK Jaie.
Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 200 orang dan turut disertai Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Shbni Saini, Guru Besar SK Jaie, Abdul Aziz Mohamad Sanusi, Yang Dipertua PIBG SK Jaie, Othman Sariee serta barisan pemimpin masyarakat, warga pendidik, ibu bapa dan murid sekolah berkenaan.-Edisi UKAS
Disediakan oleh:
Mohammad Nizam Othman
UKAS Bahagian Samarahan