KUCHING: Syarikat Milik Kerajaan Negeri (SOE) Sarawak akan dilaksanakan dan dinilai berasaskan prestasi, sekali gus memastikan syarikat-syarikat berkenaan beroperasi secara cekap, profesional dan berdaya saing.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, SOE ini akan dipisahkan daripada arus perdana kerajaan namun dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan melalui pegangan saham dan diurus secara komersial.
"Ia tidak tertakluk kepada Perintah Am di mana jika prestasi anda baik, anda akan menerima ganjaran namun jika prestasi tidak memuaskan, anda akan menerima “X”.
"Jadi, saya minta maaflah kerana anda tidak memberikan dividen kepada pemegang saham dan tidak cekap, anda boleh ditamatkan perkhidmatan," katanya ketika sesi forum Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Rabu.
Tambahnya, model ini membolehkan pengurusan syarikat berdikari tanpa bergantung kepada peruntukan belanjawan kerajaan, sekali gus meningkatkan nilai aset negeri.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak seperti Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) kini telah beroperasi secara berdikari, manakala pelabuhan Sarawak akan menyusul selepas pengambilalihan Pelabuhan Bintulu selesai.
Ini membolehkan perkhidmatan awam akan menjadi lebih 'lean', manakala GLC di bawah model SOE akan menjadi sangat cekap dan beroperasi secara berdikari.
"Ini akan membuka peluang kepada golongan profesional untuk mengurus dan menerajui syarikat milik Sarawak, namun tertakluk sepenuhnya kepada prestasi.
"Saya percaya Singapura melaksanakan model ini, Jerman juga melaksanakannya, begitu juga negara-negara Nordic," ujarnya.
Hadir sama, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad, Pengasas dan Rakan Kongsi Pengurusan Kumpulan Salihin Dato (Dr) Salihin Abang serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Jaed Tepus