Kampung Belimbing B Dinobat Johan Pertandingan Kebersihan & Keceriaan Kampung Bahagian Serian 2025
SERIAN: Kampung Belimbing B telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Bahagian Serian Siri 2/2025 pada Majlis Penyampaian Hadiah Aktiviti di bawah Program Pembangunan Komuniti anjuran Majlis Daerah Serian (MDS), yang berlangsung pada Selasa.
Program tahunan anjuran Seksyen Pembangunan Komuniti MDS ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif komuniti setempat dalam aktiviti kemasyarakatan, memupuk kreativiti, serta meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Kejayaan Kampung Belimbing B itu sekaligus membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta sijil dan piala manakala naib johan dimenangi oleh Kampung Terbat Mawang dengan hadiah wang tunai RM2,500, manakala tempat ketiga disandang oleh Kampung Mentu Pondok yang menerima RM2,000, masing-masing berserta sijil dan piala.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi MDS, Felix Kunyau.
Selain itu, pelbagai pertandingan lain turut dianjurkan, antaranya Pertandingan Mewarna, Program Membaca Dalam Talian, serta Program Waste to Wow yang merangkumi Pertandingan Poster 3D dan Pertandingan Reka Cipta Bahan Terpakai.
Bagi Pertandingan Reka Cipta Bahan Terpakai kategori Sekolah Menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siburan muncul johan keseluruhan dengan hadiah RM500, diikuti SMK Tebakang sebagai tempat kedua (RM300) dan SMK Serian di tempat ketiga (RM200), masing-masing menerima plak dan sijil.
Untuk kategori Sekolah Rendah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beratok merangkul juara, SJKC Tapah sebagai Naib Johan, manakala SJKC Beratok turut menduduki tempat ketiga.
Dalam kategori Kampung, Kampung Siantan dinobatkan sebagai johan manakala bagi kategori Agensi Kerajaan pula diungguli MDS yana mana masing-masing membawa pulang hadiah RM500.
Bagi Pertandingan Poster 3D, SJKC Tapah memenangi kategori Sekolah Rendah, sementara JKR Serian menjuarai kategori Agensi Kerajaan, masing-masing menerima hadiah RM150.
Sementara itu, Pertandingan Membaca Dalam Talian dimenangi oleh Jaber Valery Jerry yang menerima hadiah RM200, diikuti Teresa Grace Unting sebagai naib johan untuk membawa hadiah wang tunai RM150 dan Elina Chai Yu Tong di tempat ketiga dengan hadiah RM100.
Majlis ini diharap dapat terus menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat serta menjadi pemangkin kepada usaha berterusan ke arah pembangunan komuniti yang bersih, kreatif dan mampan di Daerah Serian.
Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Serian Mahathir Zafar dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Serian Nyalu Janggeng. -EDISI UKAS