KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,707 graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak diraikan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-103 yang berlangsung di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan pada Selasa.
Pro-Canselor UiTM Cawangan Sarawak, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, kejayaan para graduan hari ini merupakan hasil usaha gigih, pengorbanan dan ketekunan sepanjang menuntut ilmu di menara gading.
Menurutnya, UiTM Sarawak terus komited melahirkan graduan yang kompeten, relevan dan bersedia menghadapi cabaran global melalui pelaksanaan pelbagai langkah strategik dalam pengajaran, penyelidikan serta inovasi.
Dalam sidang pertama ini, seramai 286 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan Diploma melibatkan graduan daripada fakulti terpilih, sekali gus mencerminkan komitmen UiTM Sarawak dalam memperkasa pendidikan tinggi di negeri ini.
Antara inisiatif utama termasuk penglibatan aktif pelajar dalam program antarabangsa, seperti University Intercultural Exchange 2025, Mapping Sarawak to the World di Dublin, Ireland serta Come Discover Bumi Kenyalang 2025 yang menghimpunkan penyertaan pelajar dari Indonesia, China dan Kemboja.
UiTM Sarawak turut memperkukuh kebolehpasaran graduan menerusi jalinan kerjasama strategik bersama industri, agensi utama serta institusi pengajian tinggi luar negara, termasuk National Formosa University, Taiwan dan Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia selain kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak.
Hasil usaha berterusan itu, kadar kebolehpasaran Kadar Bekerja Graduan UiTM bagi tahun 2024 mencatatkan 92.1 peratus, sekali gus mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai universiti pilihan majikan dan ini sekali gus mengangkat martabat UiTM apabila diiktiraf sebagai Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank.
Dalam pada itu, beliau menyeru para graduan agar menjadikan kejayaan hari ini sebagai permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih mencabar, bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berintegriti, berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada masyarakat, negeri dan negara.-EDISI UKAS