Bintulu Port Kendali 80 Peratus Kargo Sarawak, Tonggak Pembangunan Ekonomi Negeri
KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad memainkan peranan penting sebagai tonggak utama sistem logistik dan pembangunan ekonomi Sarawak apabila mengendalikan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan jumlah kargo negeri ini, dengan jumlah pengendalian mencecah 52 juta tan setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, kumpulan itu menguruskan dua pelabuhan utama iaitu Bintulu Port Sdn Bhd dan Samaraju Industrial Port Sdn Bhd.
“Justeru, ini sekali gus meletakkan kami sebagai pengendali pelabuhan ketiga terbesar di Malaysia selepas Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
“Skala operasi yang besar hadir bersama tanggungjawab besar memandangkan Bintulu Port merupakan sebahagian daripada ekosistem penting yang diperlukan bagi menyokong pembangunan Sarawak ke arah masa depan yang mampan dan berdaya saing,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Forum Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan rantaian bekalan perlu dilihat secara berperingkat, bermula daripada pengukuhan keupayaan di peringkat negeri sebelum Sarawak mampu muncul sebagai pemain nasional dan seterusnya di peringkat serantau serta global.
“Untuk bercakap mengenai rantaian bekalan serantau dan global, kita perlu melihat dahulu sejauh mana kekuatan kita di Sarawak dan di peringkat nasional,” katanya.
Forum tersebut turut menampilkan panelis lain termasuk Presiden Kebangsaan SME Association of Malaysia, Dr Chin Chee Seong, Presiden Persatuan Usahawan Sarawak merangkap Biskaunselor Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), TS Khairulnizam Dato Sri Mohamed Khalid serta Naib Presiden Digital Adoption Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ir. Wan Murdani Wan Mohamad, dengan Najib Imran sebagai moderator.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy