SME Rakan Strategik Pelabuhan, Lebih RM531 Juta Kontrak Dianugerahkan
KUCHING: Perusahaan kecil dan sederhana (SME) dianggap sebagai rakan strategik utama dalam operasi pelabuhan dan bukannya sekadar kontraktor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, daripada 820 syarikat yang berdaftar dalam sistem Bintulu Port, sebanyak 805 syarikat atau 98 peratus merupakan SME, sekali gus membuktikan peranan kritikal sektor itu dalam memastikan kelancaran operasi pelabuhan.
“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Bintulu Port telah menganugerahkan kontrak bernilai kira-kira RM1.12 bilion merangkumi kontrak jangka pendek dan jangka panjang, dengan RM531 juta daripadanya diberikan kepada SME melibatkan 503 syarikat,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Forum Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di sini pada Rabu.
Menurut beliau, SME merupakan penyedia perkhidmatan dan penyelesaian yang berada di barisan hadapan operasi pelabuhan, dan tanpa sokongan mereka, Bintulu Port tidak akan mampu beroperasi pada skala semasa.
Mengulas mengenai digitalisasi, Dato Ruslan berkata, penerapan teknologi bukan didorong oleh trend semata-mata, sebaliknya keperluan untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti serta mengurangkan kos operasi dalam memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Sehubungan itu, Bintulu Port telah membangunkan pelan induk digital dan kini melaksanakan lebih 40 inisiatif digital yang masih dalam peringkat pelaksanaan sejak tiga tahun lalu.
Forum itu turut disertai panelis iaitu Presiden Kebangsaan SME Association of Malaysia, Dr Chin Chee Seong, Presiden Persatuan Usahawan Sarawak merangkap Biskaunselor Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), TS Khairulnizam Dato Sri Mohamed Khalid serta Naib Presiden Digital Adoption Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ir. Wan Murdani Wan Mohamad.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy