Projek RTP Pendawaian Semula Rumah Panjang Regina Sg Selidap Siap Dilaksana
MERADONG: Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kerja-kerja menaik taraf prasarana melalui pendawaian semula Rumah Panjang Regina, Sungai Selidap telah siap sepenuhnya.
Projek bernilai RM99,000 itu melibatkan sebanyak 22 pintu rumah panjang dan bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan penduduk setempat menerusi sistem pendawaian elektrik yang lebih selamat, teratur dan menepati spesifikasi teknikal semasa.
Projek ini dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bermula 20 Ogos 2025 dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 19 November 2025 mengikut jadual yang ditetapkan.
Upacara Ringkas Penyerahan Tapak telah disempurnakana oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing di rumah panjang tersebut pada Selasa.
Berucap ringkas, Datuk Ding berkata, kejayaan menyiapkan projek ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan baik serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya penduduk luar bandar.
"Saya berharap kemudahan yang telah dinaik taraf itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Rumah Panjang Regina, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan serta kualiti hidup mereka secara berterusan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk agensi pelaksana, kontraktor dan penduduk setempat atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan projek. -EDISI UKAS