Pendidikan Awal Pelaburan Strategik Bentuk Modal Insan Masa Depan Sarawak
KUCHING: Pendidikan awal kanak-kanak disifatkan sebagai pelaburan strategik jangka panjang dalam pembinaan modal insan berkualiti, sekali gus menjadi asas penting kepada pembentukan generasi masa depan Sarawak yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan.
Perkara itu dizahirkan sempena Sambutan Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika dan Taska Permata KEMAS Parlimen Petra Jaya Tahun 2025 yang menjadi wadah menghargai pencapaian serta perkembangan sahsiah kanak-kanak di peringkat pendidikan awal selari dengan usaha membentuk generasi masa depan negeri ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Ahmad Rahman berkata, pendidikan awal bukan sekadar menyediakan kanak-kanak dengan kemahiran asas pembelajaran, malah berperanan membentuk jati diri, nilai murni serta keupayaan kognitif sejak usia muda.
“Pendidikan awal merupakan asas penting dalam pembentukan seseorang individu, dan usia tiga hingga enam tahun adalah fasa yang amat kritikal dalam kehidupan kanak-kanak kerana pada peringkat inilah mereka paling cepat belajar serta menyerap apa yang dilihat, didengar dan diajarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis perasmian sambutan tersebut di Wisma Sabati, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan kira-kira RM2,500 bagi setiap Tabika KEMAS sebagai sokongan berterusan bagi memastikan kemudahan prasekolah berada dalam keadaan baik dan kondusif, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan berkualiti untuk perkembangan awal kanak-kanak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar Tabika dan Taska Permata KEMAS atas komitmen serta dedikasi tinggi dalam mendidik anak-anak, di samping mengucapkan tahniah kepada ibu bapa yang terus memberikan sokongan padu terhadap pendidikan awal sebagai asas kejayaan masa depan anak-anak.-EDISI UKAS