Rakyat Diutamakan, Sarawak Dahulukan Dana Pembangunan
KUCHING: Keutamaan terhadap keperluan rakyat mendorong Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dengan mendahulukan dana pembangunan tanpa menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa rakyat Sarawak tidak wajar terus menunggu untuk menikmati pembangunan khususnya dalam aspek infrastruktur jalan, jambatan dan kemudahan kesihatan.
Sehubungan itu, katanya, Sarawak tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya akan memacu pembangunan menggunakan dana sendiri demi manfaat rakyat secara menyeluruh.
“Kalau kita melihat Pusat Kanser, Kerajaan Sarawak dahulukan RM1 bilion kerana rakyat kita yang menderita disebabkan kanser tidak boleh terus menunggu.
“Oleh itu, saya memberitahu kepada Perdana Menteri Sarawak akan mendahulukan dana untuk membina pusat kanser ini dan Kerajaan Persekutuan akan membayar semula kemudian,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa sesi forum Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan perkara sama berlaku apabila Kerajaan Sarawak mendahulukan dana untuk menaik taraf sekolah dan klinik kesihatan daif yang sepatutnya berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Sarawak turut membelanjakan bilion ringgit untuk pembangunan infrastruktur jalan raya dan jambatan bagi membuka jaringan perhubungan yang selamat untuk rakyatnya.
Perkara ini jelasnya bukan sahaja membuka jaringan perhubungan, malah membuka ruang ekonomi kepada penduduk setempat sekaligus meningkatkan pendapatan isi rumah sepertimana yang digaris dalam Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Hadir sama, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad, Pengasas dan Rakan Kongsi Pengurusan Kumpulan Salihin Dato (Dr) Salihin Abang serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew/Ahmad Daniel
Foto: Jaed Tepus