Sarawak Perlu Beralih Kepada Ekonomi Bernilai Tinggi, Elak Perangkap Pendapatan Sederhana
KUCHING: Sarawak tidak boleh terus menjalankan 'perniagaan' secara biasa, sebaliknya perlu berfikir di luar kebiasaan dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber yang dimiliki untuk menjadi produk bernilai tinggi sehingga mewujudkan kebergantungan negara lain terhadap wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan strategik itu penting bagi memastikan Sarawak tidak terperangkap dalam ‘perangkap pendapatan sederhana’ seperti yang dialami oleh kebanyakan negara membangun.
“Tahun 2026 merupakan titik permulaan untuk kita melatih bakat dan sumber manusia yang tepat bagi ekonomi baharu kita kerana kita tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa.
“Inilah sebabnya mengapa banyak negara membangun terperangkap dalam apa yang dikenali sebagai ‘perangkap pendapatan sederhana’ kerana mereka gagal mencipta sesuatu yang baharu.
“Maka langkah Sarawak sekarang adalah memanfaatkan sumber yang ada untuk mencipta sesuatu yang baharu yang memberi bernilai tambah,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa sesi forum Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, bagi merealisasikan hasrat tersebut, Sarawak memilih untuk mengangkat air sebagai komoditi baharu memandangkan kebergantungan dunia masa kini terhadap pengumpulan dan pemprosesan data yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).
“Data disimpan di pusat data dan pusat data memerlukan bekalan tenaga dan air. Oleh itu, dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, saya berpandangan bahawa air akan muncul sebagai satu lagi komoditi yang amat penting.
“Dalam keadaan tersebut, air akan menjadi komoditi yang boleh diperdagangkan dan jika itu realitinya, Sarawak mempunyai kelebihan besar kerana kita memiliki begitu banyak sungai,” ujar beliau lagi.
Inisiatif ini katanya bukan sahaja mampu menjana pendapatan baharu untuk Sarawak, malah mengurangkan kebergantungan terhadap ekonomi berasaskan minyak dan gas sekaligus mengelakkan Sarawak daripada terperangkap dalam pendapatan sederhana sahaja.
Hadir sama, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad, Pengasas dan Rakan Kongsi Pengurusan Kumpulan Salihin Dato (Dr) Salihin Abang serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew/Ahmad Daniel
Foto: Jaed Tepus