TEBEDU: Sebanyak empat Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah siap dilaksanakan di kawasan Tebedu diserahkan secara rasmi.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada di sini pada Rabu.
Projek-projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf Balai Raya Kampung Kuhum Mandeg, Balai Raya Kampung Batu Lin, pembinaan Jalan Tani Kampung Payau Mawang serta pembinaan jalan menuju ke kawasan perkuburan Kampung Plaman Bantang dengan keseluruhan kos berjumlah RM510,000.
Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek ini membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih baik serta meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar secara berterusan.
Dalam majlis sama, Dr Simon turut menyaksikan sesi menandatangani dokumen serah tapak bagi dua projek baharu, iaitu projek menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Insan Jaya dan projek di Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, masing-masing melibatkan kos RM150,000.-EDISI UKAS