BESA Dilancarkan, Acara Perniagaan Jadi Instrumen Strategik Kerajaan Bermula 2026
KUCHING: Pelancaran Business Events Sarawak Alliance (BESA) menandakan fasa baharu kerjasama strategik antara kementerian dan agensi negeri ini bagi menjadikan acara perniagaan sebagai alat penyampaian dasar, pembangunan sektor dan penciptaan legasi jangka panjang bermula 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, melalui BESA, sokongan keutamaan diberikan kepada acara tempatan dan setiap kementerian akan komited untuk memiliki dan menganjurkan sekurang-kurangnya dua acara perniagaan nasional atau antarabangsa berteras legasi.
Menurutnya, acara-acara ini akan diberi pertimbangan keutamaan di bawah Dana Acara Perniagaan Sarawak.
"Seterusnya, sokongan kelayakan, penilaian dan pembiayaan secara berstruktur. Business Events Sarawak juga akan membantu proses kelayakan, penilaian dan pemudahcaraan pembiayaan bagi acara yang disokong kementerian, tertakluk kepada pematuhan kriteria dan keperluan penilaian berteras legasi.
"Antara lain, melalui pembangunan kapasiti dan pendedahan, kementerian dan agensi akan dijemput menyertai program latihan dan pendidikan yang disasarkan serta menghadiri acara perniagaan terpilih di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Pendekatan ini memperkasakan kementerian bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai pemilik impak," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa perasmian 1st Sarawak Business Events Forum 2025 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, acara perniagaan merupakan pemacu strategik Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Jelas beliau, sejak pelancaran PCDS 2030 pada tahun 2021, Sarawak telah berjaya mendapatkan pelbagai acara perniagaan di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Acara-acara ini bukan sekadar perhimpunan, sebaliknya merupakan platform strategik untuk mempercepat pembangunan sektor, menarik pelaburan, memperkukuh keupayaan penyelidikan serta memposisikan Sarawak di pentas global.
"Sebahagian besar acara ini merupakan acara tempatan yang diterajui oleh kementerian dan agensi negeri dengan kerjasama industri malah acara-acara ini mencerminkan keutamaan, kekuatan serta visi jangka panjang Sarawak," katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Lembaga Pengarah Business Events Sarawak yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak, Amelia Roziman dan tetamu yang lain.-EDISI UKAS