Permohonan Bazar Ramadan MBKS Dibuka 22 Disember Ini
KUCHING: Permohonan pengusaha gerai sempena Bazar Ramadan anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mula dibuka mulai 22 Disember 2025 hingga 6 Januari 2026.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, pemohon boleh memohon di Kaunter Perkhidmatan Setempat 9, Lobi Dewan Bandaraya Kuching Selatan, Jalan Padungan, dengan sebanyak 160 gerai disediakan kali ini.
Katanya, kawasan tempat letak kereta di Pusat Komersial Stutong dan Pasar Komuniti Stutong telah ditetapkan sebagai lokasi rasmi bazar yang akan berlangsung dari 19 Februari hingga 20 Mac 2026.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah menetapkan kawasan tempat letak kereta di Pusat Komersial Stutong dan Pasar Komuniti Stutong sebagai lokasi rasmi Bazar Ramadan 2026," katanya dalam sidang media tersebut di sini, pada Jumaat.
Selaras dengan komitmen tanggungjawab sosial, MBKS katanya meneruskan Projek MySaveFood Ramadan bersama KPDN dan Pertubuhan Pemuda GEMA bagi mengurangkan pembaziran makanan, dengan sasaran meningkatkan kutipan lebihan makanan sebanyak 20 peratus sempena Bazar Ramadan 2026.
Di samping itu, beliau menggalakkan penawaran juadah kreatif dan berkualiti selaras dengan pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO, di samping menitikberatkan kebersihan, kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial.-EDISI UKAS