PANTU: Keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat di Daerah Pantu dibuktikan menerusi penyaluran peruntukan sebanyak RM600,000 bagi membantu mangsa bencana banjir yang terjejas di daerah ini.
Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong, berkata peruntukan berkenaan bertujuan meringankan beban penduduk yang terkesan akibat kejadian banjir, khususnya melibatkan komuniti rumah panjang.
Sehubungan itu katanya, bantuan kewangan sebanyak RM1,000 disediakan kepada setiap isi rumah di rumah panjang yang terjejas banjir melebihi tempoh 48 jam, tertakluk kepada proses tuntutan dan pengesahan yang telah ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena penganjuran Pre-Christmas Gathering anjuran Pejabat Daerah Pantu, baru-baru ini.
Jelasnya, penyaluran bantuan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, terutama ketika berdepan bencana alam yang menjejaskan kehidupan seharian penduduk.
Menyentuh mengenai program, beliau menjelaskan penganjuran program ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan perayaan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh keharmonian dan perpaduan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang.
Program Pre-Christmas Gathering yang bermula jam 4 petang itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian seperti ‘Christmas Caroling’, acara ‘Christmas Tree Light-Up’, jamuan ‘potluck’ dan pertukaran hadiah, selain persembahan oleh Gereja St Stephen serta penyampaian sijil penghargaan kepada pihak terlibat. -EDISI UKAS