Krismas Padawan Simbol Penyatuan Gereja, Perkukuh Nilai & Harmoni Masyarakat
PADAWAN: Sambutan Perayaan Krismas Daerah Kecil Padawan 2025 bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya menjadi simbol kukuh penyatuan gereja pelbagai denominasi dalam memperkasa nilai murni, perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil menegaskan bahawa gereja berperanan jauh melangkaui fungsi ibadah, sebaliknya menjadi institusi teras pembentukan nilai moral, semangat kebersamaan dan kestabilan sosial, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di Sarawak.
“Penganjuran sambutan Krismas secara bersama yang melibatkan pelbagai denominasi gereja mencerminkan tahap kematangan dan kesepaduan komuniti Kristian di Padawan.
“Penyertaan gereja daripada denominasi Sidang Injil Borneo, Methodist, Anglican, Katolik dan Evangelikal jelas membuktikan wujudnya semangat kerjasama yang kukuh merentas perbezaan, digerakkan oleh kepimpinan komuniti dan organisasi sosial setempat,” ujarnya semasa berucap dalam majlis berkenaan, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, penubuhan persatuan dan gabungan gereja perlu terus diperkasakan sebagai platform penyatuan, dialog dan persefahaman, bagi memastikan perbezaan dapat diraikan sebagai kekuatan, bukannya jurang pemisah.
Dalam aspek sokongan kerajaan, beliau merakamkan penghargaan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) atas peranan signifikan dalam memelihara keharmonian antara agama di Sarawak.
Beliau memaklumkan bahawa pada tahun 2024 sahaja, peruntukan melebihi RM11 juta telah disalurkan oleh UNIFOR bagi membantu rumah-rumah ibadat termasuk gereja, tokong dan kuil di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, selain sokongan kepada institusi pendidikan.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan Krismas kepada golongan memerlukan di kawasan DUN Mambong sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.
Hadir sama, Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datuk Ik Pahon Joyik dan Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari. -EDISI UKAS