MPKS Lancar Kamera Badan Penguatkuasa, Perkukuh Integriti & Ketelusan
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) terus melangkah ke hadapan dalam usaha memodenkan sistem penguatkuasaan apabila melancarkan penggunaan kamera badan bagi pegawai penguatkuasanya, sekali gus memperkukuh tahap integriti, ketelusan dan keselamatan dalam pelaksanaan tugas di lapangan.
Program Pelancaran Kamera Badan Pegawai Penguatkuasa MPKS yang berlangsung di Bangunan Majlis Perbandaran Kota Samarahan pada Jumaat telah disempurnakan oleh Pengerusi Perbandaran MPKS, Abang Ismawi Abang Ali dengan kehadiran Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS, Daily Joseph serta Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani.
Dalam ucapan perasmian, Abang Ismawi menegaskan bahawa keperluan terhadap ketelusan dan akauntabiliti pihak berkuasa tempatan semakin meningkat sejajar dengan persekitaran masyarakat yang kian berteraskan teknologi dan bergerak pantas.
“Inisiatif ini dijangka meningkatkan keyakinan rakyat terhadap MPKS apabila penguatkuasaan dilaksanakan secara telus, adil dan berhemah, di samping membantu proses penyiasatan serta pendokumentasian melalui rakaman yang boleh dijadikan rujukan atau bukti undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, pegawai penguat kuasa berdepan pelbagai cabaran ketika menjalankan tugas termasuk mengurus aduan awam, melaksanakan operasi penguatkuasaan serta berhadapan risiko keselamatan di lapangan.
Sehubungan itu, katanya, MPKS mengambil pendekatan proaktif dengan memperkenalkan penggunaan kamera badan sebagai sebahagian daripada pembangunan Sistem Penguatkuasaan Pintar selari dengan inisiatif Smart City dan agenda pendigitalan yang sedang digerakkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan inisiatif tersebut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, melalui pemerkasaan teknologi digital, sistem pintar dan inovasi data bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan bandar serta kualiti hidup masyarakat.
Penggunaan kamera badan ini, tambah beliau, membawa pelbagai manfaat signifikan termasuk melindungi keselamatan pegawai dan orang awam melalui rakaman visual yang boleh dijadikan bukti sah, di samping mengurangkan risiko salah faham, dakwaan palsu atau insiden tidak diingini semasa operasi dijalankan.
Selain itu, rakaman yang direkodkan juga berupaya memperkukuh integriti pegawai penguat kuasa dengan memastikan setiap tindakan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta amalan komunikasi yang beretika dan profesional.
Selaras dengan visi dan misi MPKS untuk memperkukuh tadbir urus berintegriti serta penguatkuasaan berasaskan teknologi pintar, pelancaran kamera badan pegawai penguatkuasa ini mencerminkan komitmen berterusan MPKS ke arah penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap, selamat dan telus.-EDISI UKAS
Disediakan oleh:
Mahazul Aqby Seruji
Muhammad Ridzwan Jemat
Mohd Noorhamizan Hamid
UKAS Bahagian Samarahan