KMKK Sebuyau Diperkasa Perkukuh Tadbir Urus Akar Umbi
SEBUYAU: Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai tulang belakang tadbir urus di peringkat akar umbi terus diperkasa menerusi Mesyuarat Libat Urus KMKK Peringkat Daerah Sebuyau pada Jumaat.
Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, berkata kepimpinan KMKK yang berintegriti dan proaktif amat penting bagi memastikan setiap isu rakyat dapat disalurkan dengan tepat serta ditangani secara berperingkat dan berkesan oleh pihak berkaitan.
Mesyuarat yang menghimpunkan seramai 80 orang wakil kepimpinan komuniti itu menjadi medium penting bagi memperkemas penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, di samping memperkukuh saluran komunikasi dua hala antara pentadbiran daerah dan masyarakat setempat.
Fokus perbincangan tertumpu kepada pemerkasaan peranan KMKK sebagai ejen penyampaian maklumat, penyelaras isu setempat serta penghubung utama dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan di peringkat kampung khususnya melibatkan aspek pembangunan, kebajikan rakyat dan keselamatan komuniti.
Pada mesyuarat sama, enam Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum baharu dilantik bagi Kampung Beliong Hulu, Kampung Tambai Bajong, Kampung Belimbing Besi, Kampung Tebelu Hilir, Kampung Lutong Sebangan dan Kampung Sega Baru bagi memastikan kesinambungan kepimpinan komuniti yang tersusun dan berfungsi secara efektif.-EDISI UKAS
Disediakan oleh:
Sahiza binti Yaman
UKAS Bahagian Samarahan