Kelestarian Alam Sekitar Teras Pembangunan Mampan Sarawak
KUCHING: Pendidikan kelestarian alam sekitar dalam kalangan generasi muda perlu diperkukuh sebagai medium pembentukan nilai, disiplin dan tanggungjawab sosial sejajar aspirasi pembangunan mampan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, penglibatan sekolah dalam program kitar semula bukan sekadar usaha pengurusan sisa, sebaliknya platform mendidik pelajar memahami hubungan antara alam sekitar, kesihatan awam dan masa depan negeri.
Menurut beliau, peningkatan penyertaan sekolah daripada 90 buah pada tahun lalu kepada 139 buah sekolah pada tahun ini membuktikan tahap kesedaran yang semakin positif dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa.
“Jumlah kutipan bahan kitar semula sebanyak 484,792 kilogram, meningkat 43 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan perubahan minda dan tingkah laku yang amat memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Zon Selatan 2025 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini pada Jumaat.
Datuk Amar Dr. Sim menegaskan, pendedahan awal terhadap amalan 3R dan konsep 6R serta 8R mampu membentuk generasi yang lebih berdisiplin, berilmu dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, sekali gus mengurangkan kos pelupusan sisa yang kini mencecah lebih 839,000 tan setahun di Sarawak.
Mengulas lanjut, beliau berkata kelulusan Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa dan Sumber Lestari Sarawak turut membuka peluang kepada inovasi dan penjanaan ekonomi baharu melalui sisa, termasuk biomas kelapa sawit
Menyentuh pembangunan Arkib Sarawak bernilai lebih RM200 juta yang dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan, beliau berkata ia sebagai simbol komitmen kerajaan negeri memelihara ilmu, sejarah dan identiti Sarawak untuk generasi masa depan.-EDISI UKAS