Penguasaan Teknologi Perkukuh Peranan KMKK dan JKKK di Daro, Matu
DARO: Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat penting sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat setempat, khususnya dalam penyampaian maklumat, penyelarasan pembangunan komuniti serta penanganan isu kebajikan rakyat di peringkat kampung dan rumah panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, keberkesanan peranan tersebut perlu diperkukuh melalui penguasaan ilmu teknologi dan kemahiran digital selaras dengan perkembangan semasa.
Menurutnya, keupayaan menggunakan teknologi amat penting terutama dalam penyediaan laporan, pengurusan data serta penyampaian maklumat kepada pihak berwajib secara lebih cekap dan tersusun.
“Penguasaan teknologi bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah memastikan urusan dokumentasi dan pelaporan dilaksanakan secara sistematik, telus dan berkesan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penangguhan Bengkel Pemantapan Kepimpinan KMKK serta Setiausaha JKKK Daerah Daro dan Matu Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Daro, pada Jumaat.
Dr Safiee menambah, pemimpin masyarakat perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, termasuk dalam bidang kepimpinan dan pentadbiran, agar segala urusan berkaitan masyarakat dapat diurus secara lebih profesional dan berkesan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, program tahunan berkenaan bertujuan memperkasa kepimpinan di peringkat akar umbi supaya lebih responsif dan berupaya menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat sejajar dengan aspirasi pembangunan Kerajaan Sarawak yang menekankan tadbir urus cekap dan inklusif.
Jelasnya, bengkel seumpama itu wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja memberi pendedahan kepada aspek kepimpinan dan pentadbiran, malah memperkukuh kefahaman KMKK dan JKKK terhadap dasar serta hala tuju kerajaan negeri.
Beliau turut memaklumkan bahawa program sama telah dilaksanakan sebelum ini di kawasan DUN Daro melibatkan Daerah Sibu dan Daerah Meradong, manakala penganjurannya di Daerah Daro dan Matu melengkapkan usaha berterusan untuk memperkukuh kepimpinan komuniti di seluruh kawasan DUN berkenaan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Jawatankuasa Perayaan Daerah Daro bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan di daerah itu.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usup serta wakil Residen Bahagian Mukah Siti Hazerah Bolhi.-EDISI UKAS