MIRI: Penubuhan Inventive Catheter Lab (ICL) di Hospital Miri dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkasa perkhidmatan rawatan penyakit jantung dan kardiologi di utara Sarawak, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu pesakit yang sebelum ini terpaksa dirujuk ke Pusat Jantung Sarawak.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato’ Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada hala tuju dan penambahbaikan operasi Hospital Miri yang kini menerima kelulusan peruntukan hampir RM16 juta bagi penubuhan ICL di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurut beliau, dengan penubuhan makmal berteknologi tinggi itu, Hospital Miri akan mampu melaksanakan sendiri pelbagai prosedur kardiologi dan rawatan berkaitan penyakit jantung, sekali gus mempercepatkan akses rawatan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
“Penubuhan ICL ini akan memberi kelegaan kepada pesakit kerana keperluan untuk dirujuk ke Pusat Jantung Sarawak dapat dikurangkan, sekali gus menjimatkan masa dan kos rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan program hospital outsourcing oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai pendekatan inovatif bagi memperluas akses rawatan kepada rakyat, khususnya dalam menangani beban pesakit dan keperluan kepakaran.
Beliau turut menegaskan bahawa Hospital Miri merupakan aset milik rakyat dan terbuka untuk diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang inklusif dan berkualiti.-EDISI UKAS