146 Kanak-Kanak Sertai SUNATHON 2025 Di Hospital Miri
MIRI: Program Annual Mass Circumcision (Sunathon) 2025 anjuran Hospital Miri terus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dan institusi kesihatan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti serta inklusif kepada masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni, bertempat di Bilik Seminar Bario, Aras 2, Blok B Hospital Miri, pada Sabtu.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak Hospital Miri serta semua petugas kesihatan yang terlibat dalam menjayakan Program Sunathon 2025.
Menurut beliau, program berkhatan beramai-ramai itu dilaksanakan secara serentak di seluruh Sarawak dengan penyertaan hampir 1,600 peserta, manakala seramai 146 kanak-kanak terlibat di Hospital Miri.
Beliau berkata, program tersebut bukan sahaja membawa manfaat besar dari sudut kesihatan, malah menjadi langkah penting dalam proses perkembangan kanak-kanak sebelum melangkah ke alam remaja dan dewasa.
Prosedur berkhatan yang dijalankan secara klinikal, selamat dan mengikut piawaian perubatan juga mampu memberi ketenangan kepada ibu bapa serta peserta.
Menurut beliau lagi, penglibatan peserta daripada pelbagai kaum membuktikan bahawa amalan berkhatan merupakan satu budaya kesihatan yang baik dan tidak terhad kepada masyarakat Islam semata-mata.
Sehubungan itu, sokongan berterusan daripada kerajaan, wakil rakyat serta pihak korporat amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan program seumpama ini pada masa hadapan.-EDISI UKAS