100 Individu Sertai Program Berkhatan Beramai-ramai di Hospital Mukah
MUKAH: Seramai 100 peserta menyertai Program Berkhatan Beramai-ramai sempena Sarawak Annual Mass Circumcision 2025 bagi Daerah Dalat dan Mukah yang berlangsung dengan jayanya di Hospital Mukah, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, program berkenaan melibatkan seramai 30 petugas perubatan yang diketuai oleh seorang doktor pakar pembedahan am dari Hospital Bintulu.
Menurutnya, pasukan yang terlibat terdiri daripada pegawai perubatan dan penolong pegawai perubatan dari Hospital Mukah, Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Mukah serta Hospital Dalat.
“Komitmen tinggi pasukan perubatan memastikan setiap prosedur dijalankan dengan selamat, teratur dan mematuhi sepenuhnya standard perubatan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program tersebut menyasarkan penyertaan seramai 1,440 peserta di seluruh Sarawak bagi mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records.
Dalam pada itu, Abdul Yakub berkata pendekatan tradisional berkhatan pada masa lalu seperti mandi sungai kini digantikan dengan kaedah lebih moden, termasuk siraman air oleh pihak bomba, sejajar dengan kemajuan fasiliti dan keperluan semasa.
Beliau berharap penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menjadi platform memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Turut hadir memeriahkan program ialah ADUN Tellian Royston Valentine, Pengarah Hospital Mukah merangkap Penganjur Program Dr Ardiff Damiri, Pegawai PKB Mukah Dr Muhammad Najib Hasan serta Pengarah Hospital Dalat Dr Mohd Izzun Nasheef Mohamad Hasmuri. -EDISI UKAS