94 Peserta Jayakan Program Sunathon 3.0 Di Asajaya
ASAJAYA: Seramai 94 peserta berumur antara 10 hingga 13 tahun telah menyertai Program Sunathon 3.0 2025, iaitu program berkhatan yang diadakan bersempena dengan cuti persekolahan di Klinik Kesihatan Asajaya pada Sabtu.
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu dirasmikan oleh Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat yang mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut Rais, program tersebut membantu memastikan kanak-kanak menjalani prosedur berkhatan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal, selain mengurangkan kos yang ditanggung oleh ibu bapa melalui yuran komitmen minimum.
Sementara itu, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Asajaya, Hamidah Nen memaklumkan bahawa program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan serentak di 22 lokasi seluruh Sarawak bagi menyokong usaha merekodkan penyertaan 1,700 peserta ke dalam 'The Malaysia Book of Records'.
Katanya lagi, turut diadakan juga sesi penerangan penjagaan luka selepas berkhatan, bagi memastikan kesihatan dan keselamatan peserta sentiasa terjamin.
Hadir sama menjayakan program tersebut ialah Penasihat Program Sunathon 3.0 2025 Asajaya Dr Noor Baizura Jamali, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pakar Perubatan Keluarga Yang Menguasa Klinik Kesihatan Asajaya Dr Ling Lee Lee dan Pegawai Perubatan Yang Menguasa Klinik Kesihatan Asajaya Dr Hanizah Junaidi.-EDISI UKAS