MIRI: Penganjuran Jingling Christmas Market buat kali kedua mencerminkan komitmen berterusan Sarawak Tourism Board (STB) dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pilihan, di samping menghidupkan fungsi pusat informasi pelawat sebagai ruang komuniti yang aktif dan inklusif.
Suasana sambutan Krismas di bandaraya Miri bertambah meriah dengan penganjuran Jingling Christmas Market serta Majlis Perasmian dan Penyalaan Pokok Krismas Rasmi yang berlangsung di Pusat Informasi Pelawat Miri pada Jumaat.
Program anjuran STB itu disempurnakan oleh Pengerusinya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor, wakil pihak berkuasa tempatan, penggiat industri pelancongan serta orang ramai.
Dalam ucapannya, Dennis Ngau menzahirkan kesyukuran atas suasana harmoni yang membolehkan masyarakat berbilang kaum dan agama berkumpul untuk meraikan Krismas dalam keadaan aman dan penuh kegembiraan.
“Penganjuran Jingling Christmas Market buat kali kedua ini mencerminkan usaha berterusan STB dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan, di samping menghidupkan peranan pusat informasi pelawat sebagai ruang komuniti yang aktif,” katanya.
Menurut beliau, sektor pelancongan kekal antara pemacu ekonomi utama Sarawak hasil pemasaran berterusan di peringkat domestik dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pencapaian sasaran sekurang-kurangnya lima juta pelawat bagi tahun ini.
Beliau turut menegaskan bahawa keunikan pelancongan Sarawak bukan sahaja terletak pada keindahan alam semula jadi, tetapi turut diperkukuh oleh keramahan rakyat serta keharmonian masyarakat berbilang etnik yang memberi pengalaman bermakna kepada pelancong.
Jingling Christmas Market 2025 diadakan di dua lokasi utama iaitu VIC Sibu Heritage Centre dari 12 hingga 14 Disember 2025 dan VIC Garden Miri dari 19 hingga 21 Disember 2025 melibatkan lebih 40 peniaga tempatan.-EDISI UKAS