Isu Banjir SK Lepong Gaat Perlu Perhatian Pihak Berkaitan
BALEH: Isu banjir yang kerap melanda Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Gaat perlu diberi perhatian segera bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid, khususnya murid prasekolah yang terjejas setiap kali musim hujan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Nicholas Kudi Jantai berkata, pihak sekolah melalui guru besar dan warga pendidik telah memohon agar isu banjir di kawasan sekolah itu dibawa kepada perhatian pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Menurutnya, guru besar sekolah turut memohon pembinaan Rumah Arau atau pondok untuk kegunaan ibu bapa murid prasekolah bermalam memandangkan murid prasekolah tidak dibenarkan bermalam di asrama.
“Kehadiran murid prasekolah didapati tidak memuaskan terutama apabila musim hujan tiba.
“Saya meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan perbincangan lanjut bagi mencari penyelesaian terhadap isu banjir tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sesi Akademik 2025/2026 Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh pada Khamis.
Majlis berkenaan bertujuan menyampaikan dan mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar SK Lepong Gaat bagi sesi persekolahan 2025/2026 selain mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa dan warga sekolah.
Dalam majlis berkenaan, Nicholas telah menyumbangkan RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Lepong Gaat, walaupun jumlah murid sekolah itu hanya seramai 29 orang, sebagai tanda sokongan.-EDISI UKAS