MPS Di Landasan Tepat Realisasi Visi Bandar Boleh Didiami & Lestari Menjelang 2031
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) berada di landasan yang tepat dalam merealisasikan visinya ‘Ke arah Bandar Boleh Didiami dan Lestari menjelang 2031’ melalui pelbagai pencapaian serta pelaksanaan inisiatif bandar pintar yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, MPS telah membuktikan keupayaannya sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan yang progresif, inovatif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi pembangunan bandar moden dan mampan.
“Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kepimpinan, pengurusan dan seluruh warga kerja MPS serta sokongan rakan strategik, Sibu berada pada laluan yang betul untuk muncul sebagai sebuah bandar moden, mampan dan berpandangan jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek ketika Majlis Malam Penghargaan MPS 2025 Hotel Kingwood Hotel di sini, pada Jumaat.
Menurut Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu, antara fokus utama MPS dalam usaha mencapai visi tersebut ialah pengukuhan aspek kesihatan awam, kelestarian alam sekitar serta pembangunan komuniti yang berteraskan keperluan rakyat.
Beliau menambah, ini termasuk penambahbaikan penyampaian perkhidmatan perbandaran serta pelaksanaan transformasi digital dan inisiatif bandar pintar.
“Sibu merupakan sebuah bandar yang pelbagai dan harmoni. Kekuatannya terletak pada perpaduan, budaya dan rakyatnya.
“Apabila kita bekerjasama di semua peringkat, kita membina Sibu yang lebih bersih, selamat, hijau dan dinamik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tugas kerajaan tempatan seringkali mencabar, kompleks dan menuntut komitmen yang tinggi.
Menurut beliau, MPS memainkan peranan penting setiap hari dalam memastikan bandar ini berfungsi dengan lancar, merangkumi aspek kesihatan awam dan kebersihan, program komuniti, perkhidmatan infrastruktur, inisiatif bandar pintar serta penguatkuasaan.
“Sebahagian besar usaha ini dilaksanakan secara berterusan dan sering kali tanpa disedari. Justeru, majlis pada malam ini diadakan bagi menghargai dedikasi, profesionalisme dan khidmat bakti warga MPS kepada rakyat Sibu,” ujarnya.-EDISI UKAS