Program Agihan Biskut Krismas Perkukuh Perpaduan Masyarakat
KUCHING: Usaha memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum terus diperkasa menerusi Program Agihan Biskut Krismas anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N8 Satok yang berlangsung di sekitar Jalan Nanas, di sini pada Sabtu.
Program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Sebanyak kira-kira 400 bungkus biskut Krismas telah diagihkan kepada orang ramai tanpa mengira kaum dan agama, mencerminkan semangat kebersamaan serta amalan hidup harmoni yang menjadi tunjang masyarakat Sarawak.
Menurut Datuk Ibrahim, penganjuran program seumpama ini merupakan antara pendekatan berterusan bagi merapatkan hubungan dan memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang, khususnya di peringkat akar umbi.
“Sebagai wakil rakyat di Satok, saya sentiasa menekankan kepentingan menjaga keharmonian serta hubungan baik antara masyarakat Melayu, Cina, Iban dan kaum-kaum lain.
"Inilah kekuatan Sarawak yang perlu terus dipelihara dan diperkasakan,”katanya.
Beliau menyifatkan sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat sebagai amat menggalakkan dan membuktikan semangat toleransi serta saling menghormati terus subur dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, Datuk Ibrahim turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada semua penganut Kristian, khususnya di kawasan DUN Satok serta berharap sambutan perayaan tersebut membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan perpaduan berterusan.-EDISI UKAS