Pemuda N17 Stakan A Juara Kategori Lelaki Terbuka Mukah Raft Safari 2025
MUKAH: Pasukan Pemuda N17 Stakan A mengungguli Mukah Raft Safari 2025 apabila menjuarai kategori lelaki terbuka selepas menamatkan perlumbaan sejauh 26 kilometer dengan catatan masa dua jam 56 minit.
Pasukan berkenaan berjaya mengatasi 27 pasukan lain dalam kategori tersebut, sekali gus menempatkan Team Helang Saratok sebagai naib juara, manakala Kasihnya Warisan di tempat ketiga.
Bagi kategori wanita terbuka, UNIMAS Rafture Team muncul juara dengan catatan masa tiga jam 13 minit, diikuti pasukan LCST sebagai naib juara dan JKKK Kampung Sau Wanita di tempat ketiga.
Sementara itu, dalam kategori agensi kerajaan, VOLSAR RELA Sarawak merangkul kejuaraan dengan masa tiga jam satu minit diikuti pasukan Pemuda N17 Stakan B yang sebagai naib juara, manakala UNIMAS One Piece Team di tempat ketiga.
Bagi kategori terbuka campuran pula, UNIMAS Three Plus One muncul juara dengan catatan masa tiga jam tujuh minit, diikuti VOLSAR Pitch Black sebagai naib juara dan PDRM Mukah B di tempat ketiga.
Setiap juara menerima hadiah wang tunai RM1,000, naib juara RM700 dan tempat ketiga RM500, selain trofi kemenangan.
Terdahulu, pelepasan acara disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, manakala penyampaian hadiah disempurnakan oleh ADUN Tellian Royston Valentine.
Mukah Raft Safari 2025 merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat N57 Tellian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan Grit Event Management.
Acara ini bermula dari Jeti Kampung Sau dan berakhir di Mukah Coastal Wharf, dengan penyertaan sebanyak 65 pasukan.
Turut hadir ialah Pengurus Grit Event Management Awang Salehuddin, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias dan Penguasa Bomba Daerah Mukah Nicholas Belulin.-EDISI UKAS