Sarawak Perkasa Modal Insan, Pacu Pembangunan Bertaraf Dunia
KUCHING: Sarawak berpotensi muncul sebagai wilayah bertaraf dunia pertama sekiranya pembangunan modal insan diberi keutamaan bagi memanfaatkan kekayaan sumber Bumi Kenyalang secara strategik dan mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi keluasan wilayah, kekayaan sumber semula jadi serta jumlah penduduk, namun masih perlu memperkukuh keupayaan intelek sebagai pemacu utama pembangunan negeri ini.
"Jika kita memiliki keupayaan intelek tersebut, kita sebenarnya sudah berada di tahap taraf dunia pertama.
"Lihat negara-negara maju dalam ASEAN seperti Singapura yang merupakan sebuah negara bertaraf dunia pertama di mana mereka tidak mempunyai sumber asli, namun ia memiliki keupayaan intelek.
"Sarawak pula mempunyai sumber, maka kalau kita dapat memperkukuh keupayaan intelek, kita juga mampu mencapai tahap tersebut dan dikelaskan sebagai wilayah bertaraf dunia pertama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) di sebuah hotel terkemuka di sini pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, rakyat Sarawak perlu bersedia menjadi pemain utama dalam landskap ekonomi serantau, khususnya di peringkat ASEAN.
Jelasnya, keyakinan yang ditonjolkan membolehkan Kerajaan Sarawak memainkan peranan dalam terus membangunkan bukan sahaja negeri dan negara malah kemanusiaan sejagat.
Sehubungan itu, beliau menyeru para wartawan dapat memainkan peranan menganalisis serta merasionalkan hala tuju pembangunan negeri di samping mengemukakan idea dan cadangan yang membina.
Dalam usaha membantu pengamal media di Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zoharibturut menawarkan peluang kepada wartawan mengikuti program eksekutif dalam usaha memberi latihan dan pendedahan.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak ( Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, bagi menghantar wartawan mengikuti Program Eksekutif dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa sebarang kos kepada peserta.
"Langkah ini bertujuan melahirkan satu kategori wartawan yang benar-benar mampu menganalisis isu, mencari penyelesaian serta mengemukakan cadangan terhadap sesuatu perkara.
"Inilah hala tuju yang perlu diambil oleh wartawan tempatan di Sarawak," tegasnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo, Naib Presiden KDJA Zulazhar Sheblee, Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy Siti Aisah Adenan, Pengurus Besar Perhubungan Korporat Shell Malaysia Cindy Lopez, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pemegang Taruh Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS Khairuddin Mohd Jaafar, Pengurus Pejabat Pentadbiran dan Operasi Press Metal Cawangan Kuching Nina Melling, Pengurus Besar Perhubungan Pemegang Taruh Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port Holding Berhad Maslihah Tioh dan Pengurus Pembangunan Hartanah Hock Seng Lee (HSL) Joseph Chai. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Hazrin Sunaini