Peranan Wanita Penting Jayakan Pembangunan Inklusif
DARO: Penglibatan aktif wanita melalui pertubuhan bukan kerajaan seperti Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) merupakan elemen penting dalam memperkukuh pembangunan sosial serta kesejahteraan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, peranan wanita sebagai rakan strategik kerajaan perlu terus diperkasakan bagi memastikan agenda pembangunan inklusif dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
“PPWS memainkan peranan signifikan sebagai wadah penyatuan wanita serta platform memperkukuh jaringan sokongan sosial.
“Usaha murni ini wajar diteruskan dan diperkasakan agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh komuniti,” katanya.
Beliau berucap demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam PPWS Cawangan Daro sempena Mesyuarat Agung Tahunan 2025 pertubuhan berkenaan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Daro, pada Sabtu.
Dr Safiee merakamkan penghargaan dan tahniah kepada kepimpinan serta ahli-ahli PPWS Cawangan Daro atas komitmen berterusan dalam memperkasa peranan wanita, khususnya dalam pembangunan sosial dan kemasyarakatan di peringkat setempat.
Beliau turut menyifatkan penganjuran majlis berkonsepkan ‘Bollywood’ itu sebagai satu pendekatan kreatif yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menyemarakkan semangat kekitaan serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam masyarakat Sarawak.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah wakil Pegawai Daerah Daro Sheril Aida Ayu, Pengerusi PPWS Cawangan Daro Hapipah Jonas; barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta ahli-ahli PPWS Cawangan Daro.-EDISI UKAS