Cahaya Jalur Gemilang Hiasi Bandaraya Kuching Semarakkan Sokongan Sukan SEA 2027
KUCHING: Beberapa bangunan ikonik di Bandaraya Kuching ‘bermandi’ cahaya dengan pancaran warna Jalur Gemilang sebagai simbol sokongan terhadap Malaysia selaku tuan rumah bersama untuk Sukan SEA 2027, susulan penerimaan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) semasa Majlis Penutupan Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok, pada Sabtu.
Antara mercu tanda yang terlibat ialah Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jambatan Satok, Jambatan Darul Hana, Musical Fountain serta beberapa lokasi ikonik lain di sekitar bandaraya.
Pencahayaan ini dijadualkan berlangsung selama seminggu sehingga minggu sambutan Tahun Baharu 2026.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen dan kesiapsiagaan Kuching selaku tuan rumah Majlis Pembukaan Sukan SEA 2027, selain menzahirkan kebanggaan warga bandaraya terhadap penganjuran temasya berprestij itu.
“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan keterlihatan (visibility) temasya di peringkat nasional, membangkitkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat, serta memupuk rasa bangga terhadap peranan negeri sebagai penganjur bersama temasya berprestij ini.
“Selaku Datuk Bandar, saya berharap inisiatif ini dapat menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat, di samping memperkukuh imej Kuching sebagai bandaraya berdaya saing, progresif dan bersedia menjadi tuan rumah kepada penganjuran Sukan SEA 2027,” katanya dalam satu hantaran halaman Facebook DBKU.
Tambah beliau, pelaksanaan ini turut menyahut seruan Kerajaan Sarawak serta Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MYSED) dalam menjayakan Sukan SEA 2027, sekali gus memupuk semangat kebersamaan, patriotisme dan sokongan padu daripada seluruh lapisan masyarakat.
Selain Kuching, Sarawak, Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang turut sama ‘bermandi’ cahaya dengan pancaran warna Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan padu terhadap Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2027. -EDISI UKAS