Pertandingan Mewarna VM2026 Meriahkan Sibu Countdown 2025 Pada 28 Disember Ini
SIBU: Pertandingan Mewarna Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bakal memeriahkan Sibu Countdown 2025 apabila dianjurkan pada 28 Disember ini bertempat di Stadium Azman Hashim, Sibujaya, melibatkan penyertaan kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun.
Menurut kenyataan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, pertandingan tersebut dianjurkan oleh Junior Chamber International (JCI) Sibu dengan kerjasama Cohesion Prima Sdn Bhd sebagai salah satu pengisian utama program Sibu Countdown 2025: Menuju 2026 – Terokai Sibu, Rasai Malaysia.
Katanya, pertandingan ini dianjurkan bagi menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026, selain bertujuan menyemai minat, kreativiti dan keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
“Pertandingan ini bukan sahaja memberi ruang kepada kanak-kanak untuk mengekspresikan kreativiti mereka, malah menjadi platform awal untuk memperkenalkan semangat cintakan negara dan pelancongan tempatan selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Pusat Khidmat ADUN Dudong juga memaklumkan, pendaftaran peserta akan bermula pada jam 5 petang manakala pembukaan rasmi dijadualkan pada 6 petang, dengan yuran penyertaan sebanyak RM10 seorang.
“Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu Kategori A (4 hingga 6 tahun), Kategori B (7 hingga 9 tahun) dan Kategori C (10 hingga 12 tahun), dengan setiap kategori dihadkan kepada 100 orang peserta sahaja.
“Bagi Kategori B dan C, hadiah wang tunai ditawarkan kepada pemenang tempat pertama hingga keempat masing-masing sebanyak RM200, RM100, RM80 dan RM50, selain 30 Hadiah Cemerlang dan 30 Hadiah Saguhati.
“Sementara itu, Kategori A menawarkan hadiah wang tunai RM100, RM80, RM50 dan RM30 bagi tempat pertama hingga keempat, turut disertai 30 Hadiah Cemerlang dan 30 Hadiah Saguhati,” jelas kenyataan sama.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh menghubungi penyelaras aktiviti di talian Wong Hie Ling (010-777 3635) atau Esther Wong (010-768 8993).-EDISI UKAS