STRIKE ZONE: Battle of the Slingers 2025 Cungkil Bakat Belia
SRI AMAN: Program STRIKE ZONE: Battle of the Slingers 2025 berjaya mencetuskan suasana meriah apabila menghimpunkan golongan belia dari pelbagai kawasan dalam satu pertandingan bertempat di Dewan Sri Lemanak, di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor telah berkesempatan hadir merasmikan program tersebut.
Pertandingan yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Pertubuhan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Lingga dengan kerjasama Club Simanggang Slingers ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah berfungsi sebagai platform mencungkil bakat, mengasah kemahiran, mengukuhkan mental serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan belia.
Program ini turut mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan pasukan bukan sahaja dari kawasan Sri Aman, malah dari luar kawasan termasuk Zon Kuching, Samarahan, Saratok, Betong serta beberapa kawasan lain, sekali gus menyerlahkan potensi sukan ini di peringkat yang lebih luas.
Selain pertandingan, penganjuran program ini juga menjadi ruang interaksi sosial yang positif dengan penglibatan belia dan keluarga dalam suasana yang inklusif serta harmoni, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh perpaduan masyarakat setempat. -EDISI UKAS