Perpaduan Masyarakat Majmuk Perlu Terus Diperkukuh
DARO: Keharmonian dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak perlu terus diperkukuh sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri yang inklusif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, keunikan Sarawak terletak pada keupayaan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling menghormati tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.
“Semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat hari ini amat membanggakan dan wajar dipelihara. Inilah kekuatan Sarawak yang perlu terus diperkasakan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Sambutan Pra-Krismas Tahun 2025 di Rumah Lawrence Siru, Nangar Kecil, di sini, pada Sabtu.
Dr Safiee turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh komuniti setempat atas kerjasama erat yang ditunjukkan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
Dalam majlis ini, beliau menyaksikan penyerahan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Bina Baharu Tadika Sungai Budok, Daerah Daro bernilai RM130,000, yang diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro kepada Syarikat Bawang Hadiew.
Projek tersebut dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat khususnya dalam meningkatkan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM11,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Lawrence, Jawatankuasa Kebajikan Anggota KEMAS Matu Daro serta Fearless Mixed Martial Arts Club sebagai sokongan terhadap pelaksanaan program kebajikan, kemasyarakatan dan pembangunan belia.
Dr Safiee juga menyaksikan simbolik penyampaian 50 unit bakul makanan SABERKAS Prihatin sempena sambutan Krismas 2025 bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Jurutera Daerah JKR Matu Daro Faizol Hashim, wakil Pegawai Daerah Daro Sheril Aida Ayu, wakil Ketua Polis Daerah Matu Daro Inspektor Daniel Paulus, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro Hasman Bakar; barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta barisan ahli SABERKAS Daro.-EDISI UKAS