Program Sukaneka Kampung Meritam Eratkan Perpaduan, Galak Gaya Hidup Sihat
LIMBANG: Program Sukaneka Kampung Meritam yang berlangsung di Dewan Kampung Meritam pada Sabtu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, khususnya golongan belia dan remaja.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, berkata penganjuran program seumpama ini berjaya menarik penyertaan anak-anak muda di sekitar Kampung Meritam serta kawasan sepanjang Sungai Limbang, sekali gus menyediakan platform yang sihat dan bermanfaat untuk mengisi masa lapang.
“Saya yakin program sebegini boleh diperbesarkan lagi pada masa akan datang dengan menambah lebih banyak acara kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada penduduk kampung dan kawasan sekitarnya,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sukaneka Kampung Meritam.
Datuk Hasbi menegaskan bahawa aktiviti sukan dan riadah amat penting, khususnya kepada golongan remaja peringkat sekolah menengah dan belia, kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam komuniti.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran sosial masa kini sekiranya golongan muda tidak mempunyai pengisian aktiviti berfaedah di kampung, yang berpotensi mendorong mereka terlibat dalam gejala sosial tidak sihat.
“Golongan yang aktif bersukan lazimnya lebih sihat dari segi mental dan fizikal. Generasi muda inilah yang akan menjadi pelapis modal insan negara dan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersukan, memandangkan anak-anak cenderung mencontohi amalan serta tingkah laku ibu bapa. -EDISI UKAS