Utamakan Integriti Dalam Pelaksanaan Tugas – Datu Nyurak
MIRI: Setiap kakitangan Pentadbiran Bahagian Bintulu diingatkan agar sentiasa mengutamakan integriti dalam menjalankan tugas harian kerana nilai tersebut merupakan asas penting dalam memastikan keberkesanan dan kredibiliti perkhidmatan awam.
Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, berkata integriti perlu menjadi pegangan utama dalam setiap tugasan, di samping mengamalkan budaya kerja berorientasikan hasil serta bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan matlamat organisasi dapat dicapai dengan berkesan.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Penghargaan Pentadbiran Bahagian Bintulu Tahun 2025 di sebuah hotel, di sini, pada Sabtu.
Dalam kesempatan itu, Datu Nyurak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pegawai yang telah bekerja keras sepanjang tahun, termasuk mereka yang sanggup mengorbankan masa bersama keluarga pada hujung minggu demi menjayakan program dan tugasan yang dirancang.
Katanya, pengorbanan ini telah mencipta kejayaan penganjuran acara-acara tonggak di Bintulu, termasuklah Sambutan Hari Malaysia yang menerima pujian daripada pelbagai pihak, Perasmian Jambatan Jepak serta Agrofest yang mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.
“Kejayaan ini adalah hasil penglibatan semua pihak serta kerjasama erat dengan pelbagai agensi di Bahagian Bintulu,” katanya.
Majlis makan malam tersebut turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada pegawai yang bersara wajib bagi tahun 2025 dan 2026 serta pegawai yang berpindah tempat bertugas, penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 10 penerima, serta penyampaian sijil penghargaan bagi pencapaian seperti Naib Johan Kontijen Perbarisan Pentadbiran Bahagian Bintulu, Tempat Ketiga Anugerah AKPANS 2025 dan Pemenang Tempat Kedua Anugerah Digital.
Selain itu, Sijil Penghargaan turut disampaikan kepada Pejabat Daerah Tatau atas kejayaan memenangi Anugerah Agensi Terbaik dalam Pematuhan Kewangan berdasarkan ‘Electronic Compliance Self Assessment’.
Sesi penyerahan sumbangan melibatkan kebajikan, pendidikan dan lain-lain turut diadakan sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan warga kerja.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey, Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan dan Pegawai Daerah Sebauh Thadeus Ling Bartholomew Allu. -EDISI UKAS