Dua Premis Perniagaan Terima Sijil Halal Malaysia di Sri Aman
SRI AMAN: Dua premis perniagaan di Bahagian Sri Aman menerima Sijil Halal Malaysia sempena Majlis Penyerahan Sijil Halal Bahagian Sri Aman yang diadakan bersempena Majlis Perasmian Kompleks Islam Sri Aman di Hotel Sri Simanggang, pada Sabtu.
Majlis penyerahan sijil berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, sebagai pengiktirafan kepada premis yang berjaya mematuhi piawaian dan keperluan pensijilan halal yang ditetapkan.
ua premis yang menerima Sijil Halal Malaysia ialah Yummy Xpress Sdn. Bhd. dengan tempoh sah sehingga 31 Oktober 2027 dan Borneo Eco Fish Sdn. Bhd. yang sah sehingga 15 Disember 2027.
Penyerahan sijil ini membuktikan komitmen berterusan pengusaha dalam memastikan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan adalah halal, bersih dan selamat untuk pengguna.
Sehingga kini, Bahagian Sri Aman merekodkan sebanyak 11 premis yang memiliki Pensijilan Halal Malaysia merangkumi sektor makanan dan minuman, pemprosesan makanan serta hotel.
Antara premis tersebut termasuk Raymark Sdn. Bhd. (Hotel Seri Simanggang), Sya Trigona Familyz, KFF Ice Works Sdn. Bhd., Pertama Bakery Sdn. Bhd., Honeybites Bakery Sdn. Bhd., Jaico Food Network Sdn. Bhd. (Restoran Tandang Sari), Yitery (Sri Aman) Sdn. Bhd., Senghua Chiong Cake Store, SB Supplies & Logistics Sdn. Bhd. (Restoran SugarBun Sri Aman), Yummy Xpress Sdn. Bhd. serta Borneo Eco Fish Sdn. Bhd.
Walau bagaimanapun, jumlah tersebut masih berada pada tahap yang rendah dan memerlukan penglibatan lebih aktif daripada pengusaha tempatan bagi menyokong pembangunan industri halal di Bahagian Sri Aman.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak setakat November 2025 merekodkan sebanyak 1,057 pemegang Sijil Halal dengan peningkatan sekitar 14 peratus setiap tahun. Statistik ini mencerminkan keyakinan pengusaha terhadap sistem pensijilan halal sebagai nilai tambah kepada perniagaan.
Pensijilan halal memainkan peranan penting dalam melindungi kepentingan pengguna Muslim, selain memberi jaminan bahawa makanan dan produk yang ditawarkan adalah patuh syariah serta memenuhi piawaian kebersihan dan keselamatan.
Sebagai perancangan jangka panjang, pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) turut merancang pembangunan Projek Zon Halal Sri Aman pada tahun 2026 yang akan dilaksanakan di Awada Foodcourt, Sri Aman.
Projek ini bertujuan menyediakan kawasan khusus makanan halal, menggalakkan penyertaan usahawan halal tempatan, menarik pelancong serta memperkukuh kedudukan Sri Aman sebagai salah satu pusat pertumbuhan industri halal di Sarawak. -EDISI UKAS