Pertandingan Tarian K-Pop “Be A Star” 2025 Cungkil Bakat Muda
KUCHING: Pertandingan Tarian K-Pop “Be A Star” 2025 berjaya menarik perhatian ramai dengan penyertaan memberangsangkan dalam kalangan belia serta peminat seni tarian moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, pertandingan tersebut bukan sekadar medan pertandingan tarian, sebaliknya berfungsi sebagai platform pembangunan sahsiah belia yang menekankan keyakinan diri, disiplin serta ekspresi kreatif.
“Keberanian untuk melangkah ke atas pentas adalah satu bentuk kekuatan kerana tarian bukan hanya tentang teknik tetapi ia juga mengenai disiplin, kerja berpasukan dan pencarian identiti sendiri,” tambahnya dalam majlis perasmian pertandingan tersebut di AEON Mall Kuching pada Sabtu.
Dato Lo turut memberikan penghargaan kepada Junior Chamber International Damai atas jemputan dan pengiktirafan kepada jawatankuasa penganjur atas usaha keras mereka dalam menjayakan acara ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada AEON Mall kerana menyokong aktiviti belia dengan menganjurkan acara seperti ini, yang memberikan peluang kepada bakat muda untuk mempersembahkan kemampuan mereka di tempat awam yang meriah dan mesra. -EDISI UKAS