Ahli PRS Diseru Berganding Bahu Kukuhkan Kedudukan Parti
SIMANGGANG: Seluruh ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) di semua peringkat agar terus bekerja keras dan berganding bahu bagi mengukuhkan kedudukan parti.
Menteri Di Jabatan Premier Sarawak merangkap Presiden PRS Dato Sri John Sikie Tayai berkata, hal ini khususnya melalui usaha menambah keahlian di setiap bahagian.
“Saya mengharapkan setiap bahagian dapat menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 orang ahli bagi memperkukuh kekuatan dan jentera parti di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Pra Krismas 2025 Zon Simanggang di Hotel Seri Simanggang, pada Sabtu.
Dato Sri John Sikie juga menggesa agar lebih ramai golongan profesional dan tenaga pakar menyertai Parti Rakyat Sarawak bagi menyumbang kepakaran serta idea baharu demi memperkukuh perjuangan parti dan pembangunan Sarawak secara keseluruhan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli serta perwakilan parti atas sokongan yang telah diberikan kepadanya semasa Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) PRS yang lalu, sekali gus memberi kepercayaan untuk beliau menerajui Presiden parti.
Majlis makan malam tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan selaku Pengerusi Penganjur Majlis Makan Malam Datuk Mong Dagang, pemimpin masyarakat, wakil ahli-ahli parti serta orang ramai dari sekitar Bahagian Sri Aman. -EDISI UKAS