30 Kanak-Kanak Zon Pusa Sertai Program Jom Berkhatan 2025
PUSA: Seramai 30 orang kanak-kanak dari Zon Pusa menyertai Program Jom Berkhatan 2025 anjuran Pusat Khidmat P201 Batang Lupar yang berlangsung di Klinik Pusa pada Ahad.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, penganjuran program berkhatan beramai-ramai ini bukan sahaja bertujuan memenuhi tuntutan agama, malah menjadi platform penting untuk memupuk kebersihan diri serta pembentukan sahsiah kanak-kanak sejak usia muda.
“Apabila kanak-kanak melalui proses berkhatan, ia menjadi titik permulaan kepada fasa remaja dan dewasa, seiring dengan perubahan fizikal dan hormon yang akan berlaku apabila mereka semakin membesar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan yang turut menghimpunkan ibu bapa, pemimpin setempat serta wakil agensi kerajaan, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para peserta agar sentiasa menjaga diri, melaksanakan solat, melakukan kebaikan serta menjauhi pengaruh negatif dan masalah sosial yang semakin meningkat.
Mohamad Shafizan turut menegaskan komitmennya untuk terus membantu Klinik Kesihatan Pusa dengan menyalurkan peruntukan bagi meningkatkan kemudahan rawatan demi keselesaan dan kebajikan para pesakit yang memerlukan.
Hadir sama semasa program berkenaan ialah Pegawai Perubatan Klinik Pusa Dr.Goh Siaw Hui, Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji, Penghulu Zon Pusa Bujang Beni, Penghulu Zon Beladin Zakaria Mos, Penghulu Semarang, Spinang dan Batang Maro Musa Zin serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Pusa.-EDISI UKAS