Perlumbaan Moto Gymkhana Platform Laksanakan Aktiviti Perlumbaan Secara Sah, Selamat
KUCHING: Perlumbaan Moto Gymkhana 2025 Negeri Sarawak menjadi platform sesuai untuk mengalihkan aktiviti perlumbaan haram kepada saluran sah, selamat dan berlesen selaras dengan undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Khairul Nizam Morshidi berkata, program yang julung kali diadakan berjaya melahirkan pelumba yang berdisiplin, berkemahiran tinggi dan mematuhi peraturan perlumbaan.
Ini sekali gus menyediakan platform rasmi dan berstruktur kepada pelumba tempatan Sarawak bagi menonjolkan bakat serta kemahiran teknikal.
"Saya amat berharap agar Program Perlumbaan Motor Gymkhana Negeri Sarawak ini dapat diteruskan dan dijadikan sebagai acara tahunan rasmi di peringkat negeri.
"Semoga program ini menjadi platform pencarian bakat ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, seterusnya melahirkan lebih ramai atlet Gymkhana profesional dari Sarawak.
"Saya juga berharap agar program sebegini terus menjadi medium pendidikan dalam aspek keselamatan, disiplin dan tanggungjawab dalam kalangan penunggang motosikal," katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan program tersebut pada Ahad.
Dalam pertandingan tersebut, sebanyak 20 peserta turut serta dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu motosikal berkuasa 601cc ke atas, motosikal berkuasa 250cc-500cc dan motosikal berkuasa 186cc kebawah.
Untuk kategori motosikal berkuasa 601cc ke atas, johan berjaya dirangkul oleh Hadi Charlie manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Ze' Haazwil dan Felix Anthony Taguk.
Johan kategori motosikal berkuasa 250cc-500cc berjaya dimenangi oleh Muhammad Irfan diikuti tempat kedua iaitu Ze' Haazwil manakala tempat ketiga dimenangi oleh Hasrul Rajona.
Bagi kategori motosikal berkuasa 186cc ke bawah, Ahmad Harith berjaya merangkul johan bagi kategori tersebut manakala tempat naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh Wan Nadzmi dan Mohamad Khalid.
Hadir sama, Pegawai Cawangan Rekreasi Jabatan Belia Dan Sukan Negara Mohd Mua'zam Shah Abdul Mutalib, wakil Presiden Sarawak Motorsport Association Bronnie Marshall dan wakil Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak Nadzrul Idzlan Mohd Nor. -EDISI UKAS