Pemilik Surat Kelahiran Lewat Daftar Disaran Semak & Kemas Kini Maklumat di JPN
DEBAK: Pemilik surat kelahiran lewat daftar berwarna merah disaran supaya membuat semakan kandungan dokumen berkenaan bagi memastikan maklumat penting, khususnya berkaitan bangsa, dinyatakan dengan jelas.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dokumen pengenalan diri yang lengkap dan tepat amat penting kerana ia boleh dijadikan rujukan rasmi oleh pihak berkuasa bagi tujuan pengesahan identiti, termasuk penentuan bangsa.
“Sesiapa yang mempunyai surat kelahiran lewat daftar berwarna merah perlu meneliti kandungan maklumat dengan baik.
“Sekiranya tidak dinyatakan bangsa di situ, ia perlu kita tukar kerana suatu hari nanti kita tidak tahu mungkin pihak berkuasa perlu menggunakan dokumen itu untuk menentukan sama ada anda Iban, Melayu atau lain-lain.
“Jika maklumat tersebut tiada, ia boleh menimbulkan masalah seperti yang pernah saya hadapi beberapa bulan lalu,” katanya kepada pemberita semasa program Pemimpin Bersama Rakyat dan Kaunter Perkhidmatan Bergerak DUN Bukit Saban yang berlangsung di Rumah Panjang Rayong, Nanga Lop, Rimbas, di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menasihati pemilik surat kelahiran lewat daftar supaya hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan pengemaskinian dokumen.
“Prosesnya tidak rumit. JPN akan memberi anda salinan baharu surat kelahiran (duplicate) dengan maklumat bangsa yang lengkap dan itu akan menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul pada masa hadapan,” ujarnya.
Turut hadir semasa majlis ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu, wakil Residen Bahagian Betong Kato Dorsie, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai, Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie, Pengerusi Gerempung Tuai Rumah (GTR) Rimbas Ulu Debak Lembang Liang, dan Tuai Rumah Rayong Layang.-EDISI UKAS