KUCHING: Sarawak kini telah menunjukkan ciri-ciri seperti sebuah wilayah yang maju di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, walaupun belum setaraf negara-negara benar-benar maju seperti Singapura, Jepun, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Korea Selatan namun Sarawak jelas sedang menuju ke arah yang sama sejak kebelakangan ini melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Ciri-ciri utama kemajuan Sarawak merangkumi ekonomi dan pendapatan tinggi di mana pertumbuhan ekonomi dengan Sarawak memberi fokus kepada sektor baharu seperti tenaga hijau, ekonomi digital dan industri berteknologi tinggi selain sumber minyak dan gas.
“Selain itu, sasaran adalah untuk meningkatkan pendapatan per kapita penduduk supaya setanding dengan negara berpendapatan tinggi, yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam perutusan khas pada Rabu sempena Sambutan Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026.
Tambahnya, Sarawak menunjukkan kemajuan dalam sains dan teknologi serta tenaga boleh diperbaharui dengan usaha kini untuk menjadikan Sarawak sebagai ‘Bateri ASEAN’ dengan mengeksport tenaga hijau ke negara jiran.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi memberitahu, pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang Samarahan dan pelabuhan laut dalam di Kuching akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Sarawak sebagai hab serantau untuk perdagangan dan logistik di samping Kerajaan melabur besar dalam pembinaan dan menaik taraf jalan pesisir, jambatan, dan rangkaian jalan raya lain untuk meningkatkan hubungan.
Dalam menambah usaha ke arah wilayah maju, beliau turut melihat di mana akses dan kualiti pendidikan dipertingkatkan termasuk penubuhan sekolah antarabangsa milik kerajaan dan pemberian pendidikan tinggi percuma kepada pelajar Sarawak, sambil mengekalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.
Kesihatan katanya juga diberikan tumpuan dengan menaik taraf fasiliti kesihatan yang usang, terutamanya di kawasan pedalaman, bagi memastikan semua rakyat Sarawak mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Dari segi kewangan jelasnya, pengurusan kewangan yang baik oleh Kerajaan Sarawak menyaksikan pencapaian penarafan kredit yang sangat baik di mana Agensi penarafan Malaysia, RAM Ratings dan MARC Ratings, secara konsisten mengesahkan penarafan sub-berdaulat Sarawak pada tahap AAA dengan prospek stabil.
“Penarafan tinggi ini disokong oleh kedudukan fiskal yang kukuh dengan Sarawak dijangka mempunyai rizab tunai yang besar, berjumlah RM26.9 bilion pada akhir tahun 2023,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru kerjasama rakyat dan Kerajaan Sarawak yang menjadi kunci untuk kemajuan dan kestabilan Sarawak.
Jelasnya lagi, tanpa adanya sokongan padu rakyat dalam mendokong dan menyokong segala perancangan dan dasar-dasar Kerajaan Sarawak, ia akan menyukarkan Bumi Kenyalang mencapai status sebagai sebuah wilayah maju dan makmur pada tahun 2030. -EDISI UKAS