Nilai Sejagat Asas Penting Keharmonian & Perpaduan Di Sarawak
KUCHING: Nilai-nilai sejagat seperti kasih sayang, belas ihsan, kemurahan hati dan kedamaian yang dibawa oleh sambutan Hari Krismas menjadi asas penting kepada keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, nilai-nilai tersebut merentasi perbezaan agama dan budaya serta menyumbang kepada kestabilan sosial dan keharmonian unik wilayah ini.
Sehubungan itu, bersempena dengan sambutan Hari Krismas 2025 dan ketibaan Tahun Baharu 2026, beliau mengajak rakyat Sarawak untuk terus menghayati nilai-nilai murni berkenaan dalam kehidupan seharian, di samping memperbaharui komitmen bekerja bersama bagi memperkukuh perpaduan sosial, memperkasa komuniti serta membina Sarawak yang lebih inklusif, mampan dan makmur untuk generasi akan datang.
“Semoga musim perayaan ini membawa kedamaian ke dalam rumah kita, harapan ke dalam hati kita, dan kekuatan baharu apabila kita melangkah ke hadapan bersama-sama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan perayaan Hari Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026 terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Rabu.-EDISI UKAS