KUCHING: Semangat Krismas yang menekankan nilai kesyukuran, kebersamaan dan keprihatinan terhadap sesama insan disifatkan selari dengan pembentangan Belanjawan Sarawak 2026 yang menyeluruh serta berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Belanjawan Sarawak 2026 yang dibentangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mencerminkan iltizam kerajaan negeri untuk memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara inklusif tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau lokasi penempatan.
“Belanjawan ini bukan sekadar satu pernyataan kewangan, sebaliknya satu janji bahawa setiap rakyat Sarawak akan diperkasakan untuk berjaya, kemakmuran akan dikongsi bersama dan daya tahan masyarakat akan terus diperkukuh supaya tiada siapa yang tercicir,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2025 pada Rabu.
Beliau berkata, peruntukan pembangunan berjumlah RM9.3 bilion bagi tahun 2026, dengan RM6.1 bilion atau 66 peratus disalurkan kepada kawasan luar bandar, jelas membuktikan keutamaan kerajaan negeri dalam membangunkan Sarawak secara seimbang serta menangani keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Dalam konteks keharmonian beragama, Datuk Amar Douglas menzahirkan penghargaan terhadap peruntukan RM120 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tahun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan RM475 juta sejak 2025 untuk rumah-rumah ibadat, sebagai bukti sokongan berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap semua institusi keagamaan di Sarawak.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara keharmonian antara agama, yang menjadi asas kestabilan dan kekuatan Sarawak,” ujarnya lagi.
Mengulas aspek pembangunan modal insan, beliau menyambut baik pelaksanaan pendidikan tinggi percuma dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di universiti milik Sarawak, di samping peruntukan RM665 juta bagi program pendidikan dan pembangunan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja masa depan Sarawak kekal berdaya saing.
Katanya lagi, bagi meringankan beban kos sara hidup, kerajaan negeri turut prihatin dengan memperuntukkan RM640 juta untuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) pada 2026, dengan kadar bantuan yang ditambah baik kepada RM950 bagi setiap keluarga, RM500 bagi warga emas dan RM300 bagi individu bujang.
Datuk Amar Douglas turut merakamkan keyakinan terhadap kepimpinan Premier Sarawak yang disifatkan berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama serta memacu Sarawak ke arah kemakmuran berterusan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Mengakhiri perutusannya, beliau menyeru komuniti Kristian dan seluruh rakyat Sarawak agar menyambut Krismas dengan penuh kesyukuran, serta melangkah ke tahun 2026 dengan semangat perpaduan dan harapan baharu demi membina Sarawak yang aman, makmur dan sejahtera.-EDISI UKAS