RM84,000 MRP Disalurkan Kepada 25 Pertubuhan dan Organisasi DUN Pujut
MIRI: Sebanyak RM84,000 disalurkan kepada 25 pertubuhan dan organisasi menerusi Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat N.74 Pujut, di sini pada Selasa.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pusat khidmat beliau dalam menyokong pembangunan komuniti serta memperkasa kebajikan masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa Pusat Khidmat Rakyat Pujut merekodkan sebanyak 2,204 kes sepanjang tahun 2025, dengan purata kira-kira 200 kes sebulan, dan jumlah tertinggi dicatatkan pada bulan November, khususnya melibatkan permohonan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Menurut beliau, hampir 90 peratus daripada kes yang diterima berkaitan skim kesejahteraan dan bantuan kebajikan seperti Kenyalang Gold Card, Senior Citizen Health Benefit (SCHB), MyKasih, SKAS serta inisiatif bantuan lain.
Baki 10 peratus pula katanya melibatkan isu pendidikan, aduan tempatan serta permasalahan berkaitan tanah, pengurusan sisa pepejal dan utiliti termasuk Sarawak Energy.
Beliau turut menjelaskan mengenai Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) yang bertujuan membantu penduduk melakukan pembaikan kecil kediaman tertakluk kepada syarat dan kelayakan tertentu.
Orang ramai digalakkan hadir ke pusat khidmat bagi mendapatkan maklumat lanjut untuk penilaian bantuan yang bersesuaian.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa pusat khidmat sentiasa terbuka menerima aduan dan permohonan bantuan, termasuk melalui saluran komunikasi yang disediakan sekiranya pejabat tidak beroperasi, bagi memastikan setiap mesej dan keperluan rakyat dapat ditangani dengan segera.
Penerima MRP kali ini merangkumi persatuan ibu bapa dan guru, persatuan belia, kelab sukan, pertubuhan kebudayaan dan keagamaan, persatuan pendidikan khas, kelab universiti serta pertubuhan masyarakat pelbagai kaum di Miri.
Justeru, Adam Yii berharap sumbangan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan program dan aktiviti yang memberi impak positif kepada masyarakat, selaras dengan komitmen kerajaan negeri dan wakil rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat di DUN Pujut.-EDISI UKAS